Dua Wanita Warga Filipina Berdepan Hukuman Gantung

Yyabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah Taman Putera Jaya, Manggatal, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Dua wanita warga Filipina bakal berdepan hukuman gantung selepas polis merampas 75.50 gram dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Putera Jaya, Manggatal, di sini pada 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 3.30 petang susulan maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan, seterusnya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu.

. Pegawai polis menunjukkan dadah syabu yang dirampas susulan penahanan dua wanita warga Filipina. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Ketika serbuan dibuat, suspek didapati sedang menimbang dua paket plastik berisi ketulan hablur jernih dadah jenis syabu dengan menggunakan penimbang digital.

“Syabu seberat 75.50 gram dianggarkan bernilai RM11,325 dan alat penimbang digital bersama tiga telefon bimbit dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan hasil pemeriksaan mereka tiada rekod lampau.

“Pemeriksaan urin juga didapati negatif dan kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 November lalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Habibi berkata pihaknya sentiasa melakukan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.

“Orang ramai juga dialu-alukan memberi maklumat kepada polis berhubung kegiatan jenayah di daerah ini di balai polis berdekatan atau melalui medium media sosial seperti di Facebook Polis Kota Kinabalu dan aplikasi WhatsApp di talian 019-2182729,” katanya

Berita Harian

1208