Cekik Hingga Mati Anak Kekasih Berusia Empat Tahun Kerana Cemburu

Suspek ditahan polis beberapa jam selepas membunuh anak kekasihnya. Gambar Tribun News

JAKARTA: Seorang lelaki tergamak mencekik mati anak kekasihnya kerana cemburu melihat mangsa berusia empat tahun itu mencium ibunya.

Kejadian berlaku pada tengah hari Khamis lalu ketika budak lelaki itu dijaga suspek, Alisaba Nazara di rumah mereka di Namo Rambe selepas ibu kanak-kanak itu Dorlida, 35, keluar bekerja.

Suspek pada mulanya menjaga mangsa dengan baik, malah menukarkan baju dan membedakkannya sebelum kanak-kanak itu tertidur.

Bagaimanapun, dia kemudian masuk ke bilik mangsa dan menekap mulutnya menggunakan kedua-dua tangan yang turut menutup leher mangsa selama setengah jam.

Memetik Tribun News, suspek cemburu melihat kasih sayang antara dua beranak itu, malah pernah melihat mangsa mencium bibir Dorlida.

Dorlida menemui anaknya yang tidak sedarkan diri selepas pulang ke rumah pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Kompas melaporkan, Dorlida meraung sambil memangku mangsa menyebabkan seorang jiran yang terdengar tangisannya datang menyiasat.

Susulan itu, suspek menawarkan membawa Dorlida dan anaknya itu ke hospital menaiki motosikal.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan doktor curiga mendapati kesan luka pada pipi dan leher seterusnya membuat laporan polis.

Suspek bercinta dengan ibu mangsa sejak enam bulan lalu dan sudah empat bulan tinggal bersama anak beranak itu.

Pasangan terbabit merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dan mangsa mula dijaga suspek sejak dua minggu lalu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *