(VIDEO) Sekali ‘Ngap’ Sahaja… Sang Bedal Baham Seekor Anjing

Buaya membaham anjing yang sempat dirakam sebelum video berkenaan tular di laman sosial.

LAHAD DATU: Penduduk Felda Sahabat 16, Lahad Datu, gempar apabila melihat seekor buaya membaham seekor anjing di pantai berkenaan, semalam.

Lebih mengejutkan, buaya berkenaan dilihat menelan haiwan itu dalam tempoh kurang satu minit sebelum beredar dari lokasi itu.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi tular di laman sosial selepas berjaya dirakamkan penduduk sekitar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kehadiran haiwan pemangsa itu disedari kira-kira jam 7 pagi sebelum berlegar-legar di pantai.

“Namun, buaya ini dipercayai naik ke pantai dan berjaya menerkam seekor anjing yang berada berhampiran pantai.

“Kami dimaklumkan buaya ini sering kelihatan di pantai terutama ketika air pasang,” katanya.

Augustine berkata, buaya itu tidak pernah mengganggu penduduk dan pihaknya sudah mengenalpasti lokasi persembunyian reptilia berkenaan.

“Selepas membuat pemeriksaan semalam, buaya ini didapati menjadikan kawasan muara pantai sebagai lokasi persembunyian.

“Susulan itu, pihak kami sudah melakukan tindakan lanjut dengan memasang perangkap bagi menangkap haiwan berkenaan,” katanya.

Agustine berkata, lokasi berkenaan juga sudah dipasang papan tanda untuk memaklumkan kehadiran buaya.

44792