Ramlee Marhaban Saman Komander ATB 2 & Dua Syarikat Media Tempatan

Datuk Ramlee Marhaban

KOTA KINABALU: Selepas notis meminta Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dan dua syarikat media tempatan untuk meminta maaf menerusi kenyataan media pada 11 April lalu tidak diendahkan, bekas wakil rakyat Datuk Ramlee Marhaban mengambil keputusan menyaman ketiga-tiga pihak berkenaan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya berkata saman itu susulan daripada kenyataan media yang dikeluarkan daripada pihak berkenaan yang menuduh beliau ditangkap sebagai suspek bersenjata dan menceroboh masuk ke perairan Sabah dari Sitangkai, Filipina.

Ramlee semasa sidang akhbar berkenaan. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ramlee menamakan Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin sebagai defendan pertama manakala sebuah syarikat media televisyen dan portal berita atas talian masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

“Kenyataan media itu ternyata berniat jahat dan salah dan ia melaporkan serta menyiarkan gambar saya dengan menyatakan saya ditangkap sebagai suspek pengganas bersenjata.

“Itu tidak benar kerana apa yang berlaku bukannya tangkapan tetapi hanya pemeriksaan sahaja,” katanya ketika dalam sidang media di sini pada Khamis.

Ramlee yang juga bekas Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata berikutan laporan akhbar itu disiarkan pada hari sama, beliau kemudiannya membuat satu laporan polis pada 12 April lalu untuk membersihkan nama.

Dalam masa sama juga, beliau turut menuntut defendan pertama dan beberapa media tempatan serta nasional lain supaya menarik balik kenyataan dikeluarkan dan memohon maaf dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, menurutnya, tiada sebarang maklum balas diterima pihaknya atau peguam dilantik sehingga membuatkan beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang di mahkamah.

“Untuk membersihkan nama dan menegakkan keadilan demi kepentingan awam, saya minta peguamcara saya, Marcel Jude Joseph untuk menfailkan tindakan ke Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu.

“Ini adalah berdasarkan kenyataan akhbar yang salah dan laporan televisyen yang salah.. saya digambarkan sebagai pengganas (terrorist) pada hal saya anak jati Semporna,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan akhbar Zarondin yang dikeluarkan beberapa media tempatan pada 11 April lalu menyatakan kesemua individu termasuk Ramlee ditahan ketika bot dinaiki difahamkan cuba menyusup masuk ke kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Semporna ketika itu, Asisten Komisoner Peter Umbuas (kini Ketua Polis Daerah Tawau) dalam kenyataan medianya berkata, tiada sebarang penahan dilakukan.

Jelasnya, polis hanya menerima laporan untuk pemeriksaan sahaja selain hasil pemeriksaan turut dilakukan terhadap bekas pembantu menteri itu yang mempunyai sebidang tanah di pulau berkenaan dan pergi ke situ untuk memancing bersama empat rakannya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *