
KOTA KINABALU: Negara bakal kehilangan badak sumbu Sumatera terakhir yang dikenali sebagai ‘Iman’ berikutan kesihatan mamalia itu semakin merosot dan kini berada dalam keadaan tenat.
Tahap kesihatan haiwan itu yang kini ditempatkan di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, disahkan pasukan doktor haiwan diketuai Dr Zainal Zahari Zainuddin.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata pasukan itu memaklumkan ketumbuhan uterus mamalia berkenaan semakin membesar sejak ia dikesan pada Mac 2014 dan usaha untuk membuang ketumbuhan itu amat berisiko tinggi.
“Menurut laporan, berat Iman menyusut kepada 476 kilogram. Pemakanan haiwan ini tidak normal dan terpaksa diberikan makanan tambahan bagi menampung keperluan kesihatannya.

“Situasi ini mengingatkan kita kepada ‘Puntung’ (Badak Sumbu Sumatera) yang terpaksa ‘dimatikan’ selepas sel kanser yang dialami semakin melarat sehingga terpaksa menanggung kesakitan berpanjangan,” katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, berkata pelbagai cadangan rawatan yang diberikan perlu dibuat berdasarkan nasihat pasukan pakar perubatan veterinar.
Beliau juga memberitahu kerajaan negeri akan mempercepatkan proses perundangan dengan pihak Indonesia bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro fertilisation (IVF).
Katanya, langkah itu akan membabitkan proses mengekstrak telur Iman untuk disenyawakan dengan sperma badak sumbu Sumatera di Indonesia.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri pernah mempersenyawakan telur Iman dengan sperma yang diambil Puntung yang mati pada Mei lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan.
Namun, usaha itu gagal berikutan sperma berkenaan tidak lagi berkualiti.
Berita Harian