Kawasan ESSZone Tiada Penculikan Dicadang Dikeluarkan Daripada Perintah Berkurung

LAHAD DATU, 20 Nov: Polis Diraja Malaysia (PDRM)  sedang mengkaji  cadangan mengeluarkan kawasan perairan atau daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang direkodkan tiada insiden penculikan daripada fasa pelaksanaan perintah berkurung, kata Pesuruhjaya Polis Sabah  Datuk Omar Mammah.

Langkah itu, katanya bagi memberi ruang kepada PDRM meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang lebih berisiko berlakunya insiden penculikan terutama di perairan Lahad Datu dan Semporna.

“(Cadangan keluarkan kawasan daripada) perintah berkurung sedang kita kaji, sekiranya (ada) kawasan di Sabah ini yang kita rasakan tiada sebarang penculikan dilaporkan, misalnya di Tawau,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor di sini hari ini.

Omar berkata pada masa ini tempoh masa bagi perintah berkurung dikekalkan dari 6 petang sehingga 6 pagi meliputi kawasan perairan di Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Perintah berkurung pertama kali dikuatkuasakan pada 16 Julai 2014 bagi mengekang jenayah penculikan dan pencerobohan penjenayah rentas sempadan termasuk Kumpulan Penculikan Untuk Wang Tebusan (KFRG) atau Abu Sayyaf.

Omar juga berkata perkataan ‘perintah berkurung’ tetap dikekalkan ekoran nama berkenaan termaktub dalam undang-undang meskipun terdapat gesaan agar ia ditukar kepada nama yang lebih mesra pelancongan.

BERNAMA

415