Tangguhkan PSS Dan Masukkannya Dalam Manifesto PRU Akan Datang

Joniston (kiri) berbincang sesuatu dengan Datuk Peter Anthony bersama sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Adun Kiulu (PBS) Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan agar Kerajaan negeri pimpinan Warisan menangguhkan terlebih dahulu pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) sehingga Pilihanraya Umum akan datang.

“Tangguhkan dahulu kemudian dimasukkan dalam manifesto pilihanraya umum bahawa sekiranya menang dan menjadi kerajaan, PSS akan diberikan.

“Lihat bagaimana reaksi rakyat,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Untuk sementara itu, Joniston berkata warga Filipina yang memegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci perlulah balik ke negara mereka.

“Jika ikhlas ingin bekerja di sini, mereka perlu balik ke negara mereka barulah kembali ke sini (mengikut saluran yang betul),” katanya.

Joniston juga berkata bajet tahun hadapan sepatutnya lebih tinggi berbanding dengan bajet tahunan negeri sebelum ini memandangkan unjuran hasil dari 5 peratus royalti petroleum ialah RM1.7 billion.

Joniston memberi perbandingan cadangan bajet RM4.143 billion untuk tahun hadapan dengan bajet 2018 yang berjumlah RM4.104 billion walapun unjuran hasil royalti petroleum untuk tahun itu hanyalah RM1.3 billion.

Beliau juga bertanya tentang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan rizab negeri.

“Di bawah kerajaan negeri yang lalu rizab negeri berada pada tahap hampir RM4billion dan adakah jumlahnya telah bertambah atau berkurangan,”kata beliau.

Dalam pada itu, Joniston mencadangkan agar Kerajaan negeri meminta Kerajaan persekutuan menyerahkan lima peratus bahagian mereka kepada Sabah sementara menunggu tambahan royalti daripada Petronas sebanyak 20 peratus diluluskan.

Menurutnya berdasarkan Belanjawan Negeri 2020, bayaran lima peratus royalti minyak bernilai RM1.7 bilion untuk Sabah.

“Andainya kita mendapat lagi lima peratus bahagian Kerajaan persekutuan itu bermakna kita mendapat tambahan RM1.7 bilion lagi,” katanya.

Joniston turut mencadangkan penambahan terhadap peruntukan tahunan bagi sekolah mubaligh dan badan bukan Islam.

SabahNewsToday

985