Laporan Media Polis Berhak Periksa Telefon Orang Awam Mengelirukan – Azis

Azis Jamman

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman mengeluh laporan media memberikan gambar tidak tepat kenyataannya di Dewan Rakyat mengenai hak polis memeriksa telefon bimbit seseorang.

Bercakap kepada FMT, Azis menggesa semua pihak menonton kembali rakaman sesi Dewan Rakyat di mana beliau menjawab soalan berkenaan perkara itu.

Azis berkata kenyataannya sangat jelas bermaksud polis hanya boleh memeriksa telefon bimbit seseorang jika mereka ada maklumat awal atau bertindak ke atas laporan bahawa seseorang melanggar Akta Komunikasi dan Seksyen 103, 104 dan 106 Kanun Tatacara Jenayah.

“Saya tidak cakap polis ada kuasa periksa telefon bimbit orang awam secara rambang dan ikut suka hati untuk periksa pada bila-bila masa yang mereka suka.

“Kalau tidak ada laporan dan individu tidak disyaki dan dikenal pasti melanggar undang-undang, buat apa polis periksa telefon bimbit orang awam?”

Semalam, Bernama melaporkan Azis berkata polis mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.

Menurut laporan itu, Azis berkata perkara itu dibenarkan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Azis berharap media lebih berhati-hati dalam laporan mereka terutama tajuk berita. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *