Dipermainkan, Pembangkang Mahu Kerajaan Sabah Saman Putrajaya

Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan hari ini menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan persekutuan kerana gagal menghormati hak 40 peratus ke atas hasil.

“Adakah terdapat apa-apa mekanisme yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan Sabah mendapat semula haknya,” kata beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jeffrey berkata, Sabah berhak mendapat 40 peratus daripada hasil yang dikutip di negeri itu seperti disebut dalam Perkara 112 (C) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peruntukan itu, Putrajaya hendaklah mengembalikan 40 peratus daripada hasil yang dikutip melalui cukai, levi dan fi persekutuan lain yang dikenakan ke atas negeri Sabah.

“Sabah sepatutnya mendapat RM24 bilion daripada kerajaan persekutuan kerana ia mengutip kira-kira RM60 bilion.
Setiap lima tahun, kerajaan persekutuan dan negeri wajib bertemu dan menyemak semula ketetapan 40 peratus itu.

“Kita tidak mendapat apa-apa selain daripada jumlah yang ditetapkan pada 1969. Ia satu kerugian besar kepada rakyat Sabah,” katanya.

Jeffrey juga mempersoalkan peruntukan RM53 juta kepada Sabah dalam belanjawan 2020, yang menurut beliau hanyalah gandaan jumlah yang dibayar oleh kerajaan persekutuan sejak 1976.

“Kita dipermainkan dalam hal ini,” katanya, selain mendakwa Sabah memerlukan belanjawan kira-kira RM6 bilion. – FMT

1114