‘Girang’ Dipercayai Mati Akibat Keracunan

Gambar Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KINABATANGAN: Gajah yang ditemui mati dalam sebuah ladang di Sukau, di sini, semalam, dipercayai mengalami keracunan sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organnya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata hasil bedah siasat mendapati haiwan itu tiada kesan kecederaan luaran mahupun kesan peluru.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga. – Foto Edmund Samunting

Bagaimanapun, beliau berkata, organ gajah itu seperti jantung, paru-paru, hati, limpa dan buah pinggang, dilaporkan mengalami ‘severe congestion’.

“Haiwan ini dipercayai keracunan yang menyebabkan kegagalan fungsi organ sehingga membawa kematian.

“Identiti gajah ini juga sudah dikenal pasti. Gajah betina diberikan nama ‘Girang’ ini ialah antara gajah dipasang kolar satelit,” katanya dalam satu kenyataan media.

Augustine berkata, berdasarkan rekod satelit, Girang dipercayai mati sejak 14 November lalu.

“Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berhubung kejadian ini untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 37 Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan gajah itu ditemui mati kira-kira jam 6 pagi dalam parit oleh seorang pekerja ladang.

Susulan itu, sepasukan anggota JHL bersama agensi berkaitan dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kematian haiwan berkenaan.

Penemuan terbaru itu menjadikan jumlah kematian gajah di Sabah, tahun ini, meningkat kepada 23 ekor.

Harian Metro

572