WARISAN Perjuang MA63 Demi Menuntut Hak Rakyat Sabah

Zaman menyerahkan 500 borang keahlian Kg Rasak Laut.

KOTA MARUDU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) komited dengan perjuangan menuntut hak-hak rakyat Sabah menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Datuk Anita Baranting berkata di samping tercatat dalam manifesto PRU14, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut mengemukakan tuntutan MA63 dalam Sidang Parlimen minggu lalu.

“Isu tuntutan hak Sabah dalam MA63 tidak pernah dibahaskan dalam Parlimen, sebelum ini, hanya setelah Warisan memerintah Sabah barulah perkara itu berjaya dibawa ke dalam perbahasan Parlimen,” katanya.

Anita menegaskan usaha itu menunjukkan pucuk kepimpinan WARISAN yang diketuai Shafie benar-benar serius menuntut dan mempertahankan hak-hak rakyat jelata Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 termasuk Perkara 20.

Atas dasar perjuangan itu, katanya semakin ramai kalangan pemimpin dan ahli-ahli pelbagai parti pemerintah sebelum ini mulai memberikan sokongan kepada WARISAN.

“Sokongan itu dapat mendukung usaha meneruskan agenda pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat termasuk dari kawasan Tandek,” katanya.

Anita berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Kg Rasak Laut yang menyaksikan penyertaan 500 ahli baharu ke dalam Warisan diketuai Datu Zaman Bayang semalam.

Anita seterusnya menyentuh isu pendatang tanpa izin (PTI) yang hangat ditularkan dalam media sosial dengan menyifatkan perkara berkenaan sebagai isu lama sejak sebelum kewujudan negara Malaysia.

Sehubungan itu, Anita mengajak rakyat agar tidak terpengaruh dengan isu PTI kerana sekalipun orang-orang dalam parti tertentu pembangkang itu memerintah, masalah PTI tidak akan selesai.

“Suara-suara mereka tentang PTI tidak akan sampai ke mana kerana sudah terbukti pemerintah lalu sejak kemerdekaan tidak mampu mengatasi masalah berkenaan,” tegasnya.

Anita sebaliknya meminta rakyat menyokong pemimpin WARISAN di pelbagai peringkat seperti cawangan, kawasan dan negeri.

Terdahulu Zaman menyatakan pihaknya bersama 500 ahli baharu dari pelbagai parti Barisan Nasional (BN) memutuskan menyertai WARISAN kerana yakin dengan kemampuan kepimpinan parti berkenaan.

“Penyertaan kami ke dalam WARISAN adalah ikhlas dan sukarela tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Turut hadir Ketua Bahagian WARISAN Kota Marudu Majamis Timbuong dan wakil penduduk Kg Rasak Laut Bidin Alipuddin.

Dalam ucapannya Majamis memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah-langkah positif menggazet tanah Borneo Samudera untuk perkampungan sembilan kampung dalam kawasan Tandek.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *