Kemelut Tuntutan Tanah Adat Pulau Bohey Dulang Dapat Perhatian TTS

Amin semasa sidang media itu.

SEMPORNA: Kemelut tuntutan hak tanah adat di Pulau Bohey Dulang atau Taman Marin Tun Sakaran daripada waris asal mendapat perhatian daripada pihak Taman-Taman Sabah (TTS).

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Mohd Amin Abd Mem berkata, pihaknya sudah sekian lama berhadapan isu berkenaan tuntutan tanah adat yang sukar diselesaikan melibatkan soal waris.

“Apa yang berlaku ramai mengaku waris kepada tanah adat ini dan  masing-masing dengan bukti tersendiri mendakwa mereka adalah pemilik yang sah.

“Dalam masa yang sama ada pihak lain juga yang menafikan hak waris yang menuntut kerana susun galur keluarga penuntut tidak sahih dan sekaligus mempertikaikan tuntutan waris,” katanya semasa merasmikan Majlis Dialog Pemuafakatan Bohey Dulang, di sini semalam.

Beliau berkata penentuan waris ini, Taman-Taman Sabah tidak mendapat satu bentuk kaedah yang boleh diterima pakai. Oleh itu, untuk menyelesaikan isu waris ini satu jawatankuasa teknikal yang bergerak khusus memulakan menentukan waris mengikut peraturan Akta Tanah.

“Jawatankuasa itu nanti akan menyerahkan senarai nama yang sahih kepada pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk dimasukkan dan didokumentasikan sebagai waris yang sah daripada pulau ini,” katanya.

Mengulas lanjut, majlis ini diadakan untuk menyatakan dan memberitahu kepada pihak penuntut waris bahawa pihak  Taman-Taman Sabah sudah memulakan proses dan Jabatan Tanah dan Ukur juga sudah pun melakukan posisi yang harus mereka lakukan.

“Kita menjangkakan dalam tempoh dua bulan masalah ini dapat diselesaikan diperingkat awal dan sekaligus boleh menjernihkan keadaan terhadap tuntutan ini.

“Majlis pemuafakatan ini juga merupakan proses akhir yang mana semua pengerusi daripada sembilan buah pulau akan dilantik dan membentuk jawatankuasa Lembaga Penasihat Waris untuk membantu menyelesaikan pencarian waris yang sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, setelah proses awal ini diselesaikan pihak Taman-Taman Sabah bersedia memulakan langkah seterusnya membawa semua waris yang sah untuk membangun tempat-tempat mereka.

“Kita mahu menjadikan Taman Marin Tun Sakaran yang dituntut oleh waris sebagai kawasan pelancongan  yang mendapat tempat pasaran bukan sahaja di dalam negeri tetapi sehingga peringkat antarabangsa.

“Percayalah  Taman-Taman Sabah mampu membawa garapan hasrat murni ini untuk masyarakat daerah semporna khususnya,” katanya.

Mengulas mengenai pihak pelabur yang sudah membuat pembangunan di kawasan pulau terbabit, beliau berkata Taman-Taman Sabah mengesahkan bahawa pembangunan berkenaan adalah sah dan telah melalui proses permohonan yang betul.

“Cuma permohonan baharu pihak pelabur yang mahu mendirikan pembangunan tidak akan diluluskan dan ditangguhkan untuk sementara sehingga proses penentuan waris diselesaikan terlebih dahulu.

“Setelah penentuan waris sudah diselesaikan, pihak Taman-Taman Sabah memastikan waris akan mendapat manfaat daripada pembangunan yang sudah dilaksanakan oleh pihak pelabur di kawasan mereka,” jelasnya.

Beliau juga menyangkal bahawa aduan disuarakan oleh pihak penuntut waris menyatakan pembangunan yang sedang dijalankan di pulau berkenaan merupakan kawasan larangan.

“Kajian sudah dibuat sebelum pembangunan dibuat dan mendapati ianya tidak akan merosakkan kehidupan marin di kawasan terbabit.

Malah, nelayan juga tidak diganggu dengan pembangunan berkenaan kerana mereka masih bebas melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan terbabit.

Utusan Borneo

518