WARISAN Tunai Manifesto, Setiap Pesara Diganti Muka Baharu

KOTA KINABALU: Usaha  Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menunaikan salah satu janji manifestonya terbukti apabila tiada lagi penjawat awam yang telah bersara diberikan kontrak untuk menyambung perkhidmatan seperti yang menjadi amalan kerajaan sebelum ini.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan berkata, amalan tersebut tidak diteruskan bagi memberi peluang muka-muka baharu yang turut mempunyai pengalaman untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Hashim berkata, beliau turut ditanya oleh beberapa pihak kenapa perkhidmatannya tidak disambung, justeru beliau menjelaskan kepada mereka bahawa itu adalah dasar lama yang tidak lagi digunakan.

“Ramai yang bertanya kenapa tidak disambungkan lagi, itu adalah amalan yang lama.

“Kita pun sudah ketahui dengan keadaan ini pada masa yang lepas sehingga kita kekurangan stok untuk melahirkan pimpinan dalam perkhidmatan awam,” katanya semasa Majlis Jasamu Dikenang malam tadi.

Hashim bersara wajib daripada jawatan itu sejak 1 November lalu selepas menunaikan amanah selama setahun empat bulan bermula 9 Julai tahun lalu.

Salah satu manifesto Warisan dalam pilihan raya umum lalu ialah menginovasikan perkhidmatan awam termasuk meremajakan sektor berkenaan dengan memberi peluang pemimpin-pemimpin baharu menaiki hierarki pentadbiran.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, sekiranya beliau dilantik semula keadaan tersebut bukanlah sesuatu yang baik untuk pentadbiran negeri.

“Jadi saya amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana menamatkan amalan ini yang saya rasa harus di teruskan.

“Amalan tersebut mampu memberi inspirasi kepada semua pihak daripada pelbagai peringkat untuk berusaha merebut peluang dalam perkhidmatan awam menaiki ke tangga yang lebih tinggi,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *