Polis Gempur Sarang Dadah Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang warga emas berusia 95 tahun antara 48 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah melalui operasi bersepadu Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti sebagai sarang dadah di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata keseluruhannya 19 serbuan diadakan sepanjang operasi itu yang berakhir pada 26 Oktober lalu, bertindak atas maklumat risikan dan hasil pemantauan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Kinabalu.

“Selain Kampung Cenderamata, serbuan turut diadakan di bebarapa kampung lain yang dikenal pasti mengalami masalah penyalahgunaan dadah, termasuk Kampung Lembaga Padi dan Kampung Cenderakasih, seterusnya membawa kepada penahanan 48 individu berkenaan.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, tiga individu ditahan atas kesalahan pengedaran dadah, manakala 16 individu kerana memiliki bahan terlarang berkenaan dan selebihnya ditahan selepas hasil ujian air kencing mereka didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua individu terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Habibi berkata, dalam operasi dijalankan itu, polis turut merampas 15.27 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM763.50 mengikut pasaran semasa.

Katanya, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah akan terus diperhebatkan di bandar raya ini bagi menangani pemasalahan sosial dalam kalangan penduduk setempat.

“Justeru, kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing, termasuk berkaitan kes dadah.

“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-529 220 atau melalui akaun Facebook rasmi Polis Daerah Kota Kinabalu,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *