Guru Tabika Kemas Alami Trauma Akibat Diserang 6 Sekeluarga

Faujiah terlantar di katil ketika menerima rawatan selepas dibelasah enam suspek baru-baru ini.

SEMPORNA: Guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sungai Buaya, yang dibelasah enam sekeluarga dikatakan masih trauma dan ketakutan akibat kejadian itu.

Difahamkan, Faujiah Piong, 35, akan menjerit, menangis dan menggeletar setiap kali teringat kejadian dia pada 21 Oktober lalu.

Mata kiri Faujiah cedera teruk akibat dipukul enam sekeluarga baru-baru ini.

Suaminya, Rofli Roslan, 31, berkata, mangsa kini terpaksa menelan pil tidur untuk membantunya tenang dan dapat berehat dengan baik.

“Walaupun sudah 12 hari berlalu, isteri saya masih belum dapat melupakan kejadian itu terutamanya sebelah pagi.

“Saya dan ahli keluarga lain perlu menenangkannya setiap trauma itu menyerang,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya semalam.

Faujiah ditemani suaminya ketika ditemubual wartawan semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi, 21 Oktober lalu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala dan mata selepas mendakwa dipukul menggunakan objek keras seperti kayu, besi serta kerusi oleh enam sekeluarga berusia antara 18 hingga 62 tahun.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang hendak memulakan sesi pembelajaran terkejut melihat tindakan salah seorang suspek wanita yang juga pembantu guru di sekolan itu, membawa semua murid keluar dari kelas dan mengunci pintu.

Lima lagi suspek iaitu suami pembantu guru itu, tiga anaknya dan seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa datang dari arah pintu belakang kelas lalu mula menyerang mangsa.

Menurut Rofli, ketika kejadian, dia menerima panggilan telefon dari penduduk Kampung Sungai Buaya yang memaklumkan Faujiah diserang.

Katanya, dia segera bergegas ke Tabika Kemas itu dan terkejut apabila melihat isterinya terduduk kesakitan, menangis dan berlumuran darah.

Jelasnyanya, isterinya pernah membuat satu laporan polis kira-kira seminggu sebelum kejadian kerana merasakan keselamatannya terancam selepas berlaku perselisihan dengan pembantunya di sekolah itu.

Dalam pada itu, Faujiah berkata, dia masih lagi merasa sakit di bahagian perut, rahang dan mata kesan daripada kejadian itu serta turut dinasihatkan berjumpa doktor bagi merawat trauma yang dialami.

Katanya, dia tidak mahu lagi mengajar di Tabika Kemas berkenaan dan berharap dipindahkan ke tempat lain demi keselamatannya.

“Saya masih tidak dapat melupakan bagaimana saya diperlakukan pada hari berkenaan.

“Saya berharap agar keadaan pulih semula dan dapat bertugas di tempat lain kerana tidak mahu dihantui peristiwa itu pada masa akan datang,” katanya.

BorneoToday

3809