PPR Di Sabah Tidak Akan Diberikan Kepada PTI

TUARAN: Kerajaan Sabah tidak akan memberikan kemudahan Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada pendatang tanpa izin (PTI).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, kerajaan negeri sekarang tidak pernah melakukan perkara seumpamanya keranan PPR hanya diberikan kepada penduduk sah orang Sabah sahaja.

“Kita tidak membenarkan mereka menetap di kawasan perkampungan di negeri ini, tetapi perkara yang menjadi perhatian adalah terdapat penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab membenarkan mereka menetap di tanah mereka.

“Perkara ini berlaku di Semporna dan diharapkan ianya tidak berlaku di sini serta daerah lain dalam negeri ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Gayang Ria 1, di sini pada Isnin.

Jaujan turut menjelaskan Tuaran masih mempunyai banyak kampung yang belum digazetkan. Daerah-daerah lain di negeri ini turut berhadapan dengan perkara sama.

Katanya, perkara seumpamanya sudah dibincangkan dalam Kabinet negeri dan usaha untuk mengazetkan kampung-kampung berkenaan akan dilaksanakan.

“Ini adalah kampung setinggan tetapi ianya diduduki oleh orang-orang tempatan dan bukannya seperti mana persepsi sesetengah pihak yang mengatakan ianya diduduki pendatang tanpa izin.

“Apabila digazetkan, kita tanah kampung itu akan dijadikan tanah atau kampung tradisi memandangkan penduduk di sana sudah menduduki kawasan itu sejak puluhan  tahun,” katanya.

Menurutnya, PPR juga boleh ditubuhkan di kawasan itu bagi menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk tempatan di kawasan terbabit sahaja.

Dalam pada itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyerahkan sebanyak 418 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria 1 kepada para pemohon yang layak menduduki rumah terbabit.

“Di sini, kita menerima banyak permohonan untuk PPR Gayang Ria 1 tetapi pada masa kini hanya 418 sahaja ditawarkan.

“Jangan bimbang, permohonan yang tidak ditolak akan ditawarkan PPR apabila fasa kedua untuk PPR di sini disiapkan nanti,” katanya.

Beliau berkata, PPR berkenaan setinggi 18 tingkat dilengkapi dengan kemudahan empat buah lif, surau, dewan serbaguna, taman permainan, tadika dan pelbagai lagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 2,890 borang dalam berbagai kategori seperti ibu tunggal, berkeluarga penuh, Orang Kelainan Upaya (OKU), setinggan, warga emas, bapa tunggal dan ibu tunggal.

“Setelah melalui beberapa tapisan, kementerian hanya boleh menempatkan 418 pemohon sahaja setakat ini,” katanya.

Jaujan juga menegaskan bahawa penduduk PPR itu nanti dikehendaki menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew Vun Zin, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masnah Matsalleh serta tetamu kehormat yang lain.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *