BERSATU Sabah Perjuangkan Perjanjian Malaysia 1963: Hajiji

TAWAU: Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) Sabah sentiasa memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak timbul isu jika parti itu tidak memperjuangkannya.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata usaha itu diperjuangkan bersama-sama tanpa mengira parti politik.

“Saya ingat dalam konteks orang Sabah, kita sentiasa menyokong untuk melaksanakan perjanjian pembentukan Malaysia (sehinggalah tuntutan itu berjaya dicapai),” katanya.

Hajiji ditemuramah pemberita selepas berucap merasmikan Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah (Peringkat Bahagian Tawau) di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Mengulas mengenai penerimaan parti lain di Sabah terhadap BERSATU pula, beliau percaya perkara itu bukannya satu masalah kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Saya melihat di Sabah tidak ada masalah kerana kita mempunyai tujuan yang sama dan kita memberi kerjasama dengan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Sabah,” katanya.

Menurutnya, BERSATU hanya berhasrat menguatkan parti, serta mengalu-alukan mereka yang mahu berdaftar dan menyokong, malah tidak menafikan hak orang atau parti lain.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama terutama sekali kepada Kerajaan Negeri dan parti-parti yang bersama-sama mengukuhkan Pakatan Harapan.

Menyentuh tujuan jelajah BERSATU Sabah pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata tujuan program terbabit membolehkan pemimpin dan ahli bertemu.

“Kita sudah menjelajah enam bahagian, ada 19 bahagian lagi yang akan dilawat, pada masa sama mungkin ada di antara mereka yang tidak faham dengan perjuangan BERSATU.

“Masa inilah pemimpin-pemimpin BERSATU mengambil peluang untuk menerangkan asas perjuangan parti,” katanya, sambil mengakui optimis dengan sokongan ahli-ahli parti itu.

Terdahulu, Ketua BERSATU Bahagian Tawau merangkap ADUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata bahagiannya kini mempunyai ahli seramai kira-kira 5,000 orang.

Nizam berkata setakat ini juga BERSATU Tawau sudah membuka 13 cawangan secara rasmi iaitu tujuh di kawasan Apas dan enam lagi di Balung, serta akan menyusul di Sri Tanjung.

“Kita (BERSATU Tawau) memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *