Polis Keluarkan 7 Saman, Tahan Tiga Pemandu Mabuk

Anggota polis menjalankan pemeriksaan ujian nafas semasa operasi itu.

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga pemandu mabuk dalam operasi selama tiga jam di sekitar kawasan bandaraya semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga suspek antara 10 pemandu yang menjalani pemeriksaan ujian nafas dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, hasil saringan ujian kedua, tiga suspek didapati positif melebihi paras alkohol dalam darah.

“Suspek boleh disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

“Dalam operasi yang sama, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak tujuh keping saman atas pelbagai jenis kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula jam 1 pagi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Kinabalu.

Habibi berkata, penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Selain itu katanya, tindakan penguatkuasaan terus dipergiatkan bagi mengelak individu memandu di bawah pengaruh alkohol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *