Bernardo Linus Jaguh Pertama Ultra Maraton Labuan 2019

Foto BERNAMA

LABUAN: Pelari jarak jauh Sabah, Bernardo Linus, berjaya menungguli larian sukan lasak 50 kilometer pada pertandingan Ultra Maraton Labuan 2019 yang pertama, di sini hari ini.

Bernardo melakukan pencapaian terbaik peribadi dengan mencatatkan masa empat jam 26 minit dan 41 saat manakala pelari tempatan, Rekon Sikun Rcon muncul naib juara dengan catatan masa 4:48:50s, dikuti Jifree Pulok dengan masa 4:57:26s.

“Perlumbaan ini diatur untuk menguji sejauh mana kemampuan diri. Saya hanya meneruskan cabaran sehingga sampai ke garisan penamat,” kata Bernardo, yang berhasrat untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam acara ultra maraton tahun depan.

Dalam kategori terbuka 24km, pelari Malaysia, Bungsu Umar berjaya menungguli acara itu dengan masa 2:04:12s dikuti pelari wanita dari Kanada, Kathryn Deuerlein (2:13:05s) manakala seorang pelari negara, Hamsir Hamid menghuni tempat ketiga dengan masa 2:18:12s.

Acara maraton antarabangsa itu, anjuran Avta Sports Sdn Bhd., disertai 739 pelari yang mengambil bahagian dalam tiga kategori iaitu 50km, 24km dan 13km.

BERNAMA

31