Lelaki Belanja Ribuan Ringgit Kumpul Jersi Bola Sepak Sabah

LAHAD DATU: Meminati sukan bola sepak sejak di bangku sekolah, membuatkan Isnain Rabaha, sanggup berhabis untuk memiliki jersi bola sepak pasukan kegemarannya Sabah. 

Sejak 2000 hingga kini, Isnain, 39, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Lahad Datu 2 itu membelanjakan ribuan ringgit bagi memiliki lebih 100 jersi Sabah tulen yang dibeli sama ada secara dalam talian, kedai sukan atau orang tertentu.

“Hobi mengumpul jersi ini mendatangkan kepuasan dan saya mula mengumpul jersi sejak 1979 sehingga sekarang. Untuk jersi Sabah yang sekarang ini, saya akan dapatkan ketiga-tiga set (warna merah, biru dan putih). Saya beli awal melalui online dan tidak tunggu diskaun kerana takut saiz baju habis.

“Selain Sabah saya juga kumpul jersi Malaysia, dan untuk jersi pasukan negeri lain, saya tunggu diskaun sahaja, baru saya beli, ini kira bonus kalau ada,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Palm Height dekat sini.

Mengenai kegilaannya terhadap koleksi jersi Sabah itu, Isnain bersyukur kerana isterinya memberi sokongan penuh dan selain keluarga, rakan-rakan juga turut berkongsi minat dengan beliau yang juga merupakan ahli kelab Kolektor Jersi Sabah (KJS).

Isnain berkata berkata antara jersi Sabah yang paling disayanginya, jersi yang mempunyai tandatangan bekas pemain Sabah yang beliau minati, Matlan Marjan.

“Saya dapat berjumpa dengan Matlan pada tahun 2017, saya tidak lepaskan peluang untuk meminta tandatangannya,” katanya dan menambah pertemuan bersama pemain legenda Sabah itu merupakan momen indah yang tidak dapat dilupakan.

Selain itu, menurut Isnain antara cabaran menjadi pengumpul jersi termasuk sukar mendapatkan baju lama pasukan Sabah serta harganya yang mahal sehingga mencecah RM700, di samping memastikan baju itu tidak rosak.

“Bagi mengekalkan kualiti jersi, saya simpan setiap satu dalam kotak kecil dengan tidak melipatnya supaya jersi ini tidak didatangi anai-anai, selain memastikan warna baju tidak pudar,” katanya lagi.

Menurut Isnain, dia juga pernah ditipu dalam urusan pembelian jersi, apabila individu itu lesap bersama wang yang telah dibayarnya, bagaimanapun beliau bernasib baik apabila bekas pemain Sabah memberikan jersi itu secara percuma.

Sementara itu, Isnain berharap agar Sabah FA dapat memberikan harga diskaun tiket kepada peminat tegar pasukan bola sepak Sabah.

“Misalnya kami ini kelab KJS semuanya penyokong pasukan Sabah, kami ini juga yang selalu ke stadium jika ada perlawanan membabitkan pasukan negeri ini,” katanya lagi.

Dia turut meminta supaya larangan membawa masuk gendang di stadium sewaktu perlawanan bola sepak, dapat dikaji semula kerana dengan adanya elemen muzik, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat pemain.

Selain itu, Isnain turut mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah agar menyediakan platform kepada KJS untuk mempamerkan koleksi jersi Sabah bagi memartabatkan pasukan bola sepak Sabah.

“Kalau ada event mungkin boleh jemput KJS, sediakan ruang, kami boleh buat pameran jersi, ini untuk sukan bola sepak kita,” katanya lagi.

BERNAMA

20