Ikut Laluan Perairan Sah Keluar Masuk Sabah – PPM

Foto BERNAMA

LAHAD DATU: Semua pihak dinasihatkan menggunakan laluan perairan yang sah untuk memasuki dan keluar daripada Sabah, kata Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali.

Katanya gesaan itu sebagai peringatan mengelakkan  apabila satu insiden yang tidak diingini berlaku seperti bot karam, kejadian itu tidak disedari.

“Kita (Malaysia) ada sistem, keluar masuk secara sah, guna laluan ini, misalnya di Tawau ada CIQ atau pelabuhan Sandakan. Akan tetapi kebanyakan ikut (laluan) tidak sah dari negara jiran, mengambil jalan mudah lari daripada undang-undang, tanpa fikir mengenai keselamatan nyawa, yang mungkin apa-apa insiden boleh berlaku di tengah laut,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata kesedaran mengenai aspek keselamatan menaiki bot masih rendah, termasuklah penggunaan jaket keselamatan dalam bot, yang sering diabaikan.

“Selain juragan bot membawa muatan penumpang secara berlebihan, bot kecil, bawa lima, enam penumpang walhal untuk dua, tiga penumpang, ditambah lagi barang-barang yang dibawa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, katanya operasi mencari dan menyelamat (Sar) enam lagi mangsa bot karam yang masih hilang meliputi perairan sempadan Filipina dan Semporna hari ini, ditangguh dan akan disambung esok.

“Kita sudah menghubungi Philippine National Police Maritime Group, selain Pasukan Gerakan Udara Sabah, untuk menjalankan operasi Sar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu, Asby Mohd Anwar ketika dihubungi berkata operasi Sar dilaut ditamatkan 6 petang tadi, tetapi beberapa anggota masih ditempatkan (daratan) berdekatan kawasan pencarian sekiranya terdapat apa-apa petanda,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina dipercayai karam, sebelum seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini, pada Khamis lalu.

Manakala seorang wanita dan seorang lelaki ditemui mati terapung masing-masing di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat dan perairan Pulau Mataking, semalam, sekali gus menjadikan enam termasuk dua kanak-kanak masih hilang dan dikhuatiri lemas.

BERNAMA

10