5 Individu Fail Saman Terhadap PTPTN, Kerajaan

KUALA LUMPUR: Lima individu memfailkan saman hari ini terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pakatan Harapan (PH) atas dakwaan melanggar janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Plaintif terbabit, Andy Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailan, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27 dan Mohammad Awad Sobri, 34 turut menuntut penangguhan pembayaran balik pinjaman itu.

Saman secara dalam talian oleh Tetuan Adnan Sharida & Associates itu menamakan PTPTN sebagai defendan pertama, PH selaku defendan kedua dan kerajaan sebagai defendan ketiga.

Peguam Adnan Seman, yang mewakili kelima-lima plaintif, berkata saman berkenaan merujuk kepada janji manifesto calon PH pada PRU-14 yang tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti mana dijanjikan.

Menurutnya, antara janji manifesto itu ialah penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan.

Plaintif mendakwa janji defendan kedua (PH) yang terkandung dalam Buku Harapan (manifesto) adalah kontrak yang mengikat plaintif serta masyarakat untuk mengundi PH pada PRU-14.

Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut satu pengisytiharan bahawa janji pilihan raya dan manifesto adalah satu kontrak yang mengikat parti politik jika memenangi PRU-14.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan diarah menangguhkan pembayaran balik PTPTN semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *