‘Pusher’ Ditahan Ketika Menunggu Pelanggan

Mohd Haris Ibrahim (tengah) menunjukkan dua peket plastik berisi ketulan dadah jenis syabu dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Penampang. – Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki disyaki ‘pusher’ dadah ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mongonibung, Jalan Penampang, di sini kelmarin.

Suspek berusia 28 tahun berasal dari Likas, ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, jam 6.15 petang.

Dadah yang dirampas – Foto IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis menjalankan pemantauan dan mengesan sebuah kereta jenis Nissan Almeera dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah di Kampung Mongonibung.

“Sebaik polis menghampiri, suspek cuba melarikan dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya diberkas,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris Ibrahim (tengah) dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Penampang.

Mohd Haris berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemui satu bungkusan hitam yang mengandungi dua peket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat 101 gram bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran semasa.

“Siasatan mendapati suspek disyaki pengedar dadah dan memperoleh bekalan dadah itu daripada abang kandungnya. Susulan itu polis melakukan serbuan di rumah abang suspek di Telipok namun tiada sebarang tangkapan dipercayai abang suspek sudah melarikan diri.

“Siasatan lanjut mendapati juga suspek ini baru sembilan hari dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan suspek mempunyai 10 jenayah lampau iaitu lapan kesalahan dadah dan dua jenayah samun dan curi kenderaan,” katanya.

Mohd Haris berkata, tangkapan dan rampasan di bawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kegiatan berkaitan dadah atau jenayah lain khususnya di daerah ini,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *