Pertandingan Miss Scuba International Pageant 2019 Platform Memperkenalkan Sabah Di Mata Dunia

Christina (dua kiri) menerima jemputan daripada Robert ketika kunjungan berkenaan.

KOTA KINABALU: Miss Scuba International Pageant 2019  yang akan diadakan di sini minggu ini adalah satu lagi platform bagi memasarkan Sabah sebagai destinasi terbaik dalam industri pelancongan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, acara berkenaan akan meletakkan negeri ini di mata dunia khususnya dari negara-negara asal 25 peserta yang akan mengadakan pelbagai aktiviti di sini. Acara kemuncak akan diadakan pada 16 November di Hotel Magellan Sutera.

Katanya, dengan tema pertandingan ‘Saving Oceans Through Beauty’, acara berkenaan juga mendapat sokongan daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

“Ia juga sebagai satu strategi promosi yang mana STB akan memaparkan rakaman-rakaman destinasi menarik di Sabah ketika acara diadakan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat oleh Pengasas Miss Scuba International Ltd Robert Lo dan Pengarahnya Grace Ginda baru-baru ini.

Christina turut dijemput sebagai tetamu kehormat pada malam kemuncak persembahan berkenaan.

Sementara itu, Robert menjelaskan hakim pertandingan tidak hanya melihat pada kecantikan para peserta tetapi juga akan membuat keputusan berdasarkan pengetahuan mereka terhadap pemuliharaan hidupan marin dalam lautan.

Utusan Borneo
 

30