5 Rumah Ibadat Berdekatan Bukti Perpaduan Kukuh Masyarakat Tuaran

Masjid An Nur Tuaran

TUARAN, 21 Okt: Masjid An Nur Tuaran di sini, mencatat sejarah tersendiri apabila dikelilingi tiga gereja dan sebuah tokong Buddha sejak kewujudannya lebih 20 tahun lalu.

Masjid yang terletak hanya 700 meter dari pekan Tuaran itu, berupaya menampung seramai 1,500 hingga 2,000 jemaah pada satu masa, dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai pada 1999.

Kewujudannya tidak hanya sebagai kemudahan umat Islam di daerah ini menunaikan ibadah, malah menjadi kebanggaan penduduk setempat sebagai lambang kebesaran agama itu.

Namun, apa yang lebih unik ialah kedudukan masjid besar itu berada di tengah-tengah lokasi tiga gereja berkenaan iaitu gereja basel Malaysia, gereja sidang injil Sabah dan gereja Anglican St Andrew’s, serta sebuah tokong Buddha.

Tuaran turut mempunyai sebuah lagi gereja katolik terbesar dan tertua iaitu St John yang dibangunkan di lokasi bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dipercayai berusia lebih 40 tahun, tetapi kedudukannya jauh dari masjid berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati kedudukan masjid, gereja dan tokong yang berdekatan itu sedikit pun tidak menimbulkan masalah serta gangguan kepada penganut agama menunaikan ibadat mengikut kepercayaan masing-masing di situ.

Malah, difahamkan ada ketikanya umat Islam yang datang sembahyang di masjid berkenaan akan berkongsi ruang letak kenderaan dengan penganut agama lain yang mengunjungi rumah ibadat mereka.

Pegawai Perhubungan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tamparuli Suffian Kundu berkata suasana itu membuktikan kukuhnya hubungan perpaduan dalam kalangan penduduk daerah ini, walaupun berbeza fahaman dan kepercayaan agama.

“Keadaan itu menunjukkan perkara perpaduan masih kuat dalam kalangan penduduk pelbagai etnik dan anutan agama di Tuaran, Tamparuli dan Kiulu sejak sekian lama.

“Saya bangga dengan suasana wujudnya keharmonian kaum serta saling menghormati dalam kalangan penduduk yang kekal sehingga hari ini,” katanya kepada Bernama, di sini.

Sehubungan itu, beliau berharap perpaduan yang wujud itu, dapat dipelihara serta dipertahankan demi kebaikan semua pihak. 

BERNAMA

12