Lapan Warden Ditahan Bantu Siasatan Kematian Banduan Lelaki Di Penjara Kepayan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Lapan warden penjara termasuk seorang pegawai ditahan polis semalam, bagi membantu kes kematian seorang banduan lelaki yang ditahan di Penjara Pusat Kepayan.

Semua mereka berusia 20-an hingga 40-an ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, petang semalam.

Difahamkan, banduan berusia 36 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan Penjara Pusat Kepayan, pada 4 Oktober lalu sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan.

Bagaimanapun doktor di HQE 1 mengesahkan banduan terbabit meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan banduan terbabit dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh keluarga banduan terbabit.

Difahamkan banduan itu ditahan di Penjara Pusat Kepayan atas kesalahan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika ditemui hari ini mengesahkan mengenai penahanan semua mereka.

“Semua mereka ditahan dan permohonan reman sudah dilakukan pagi tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SabahNewsToday

66