Jurujual Simkad Menyamar Pegawai Polis Elak Motosikal Ditarik

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Helah seorang lelaki yang mengaku kononnya pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) bagi mengelak motosikalnya ditarik, terbongkar apabila pemeriksaan mendapati suspek bekerja sebagai jurujual simkad.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta ingin menarik motosikal milik suspek di kawasan parkir di Centre Point, di sini kerana tertunggak selama lima bulan.

Bagaimanapun suspek kemudian menunjukkan lencana polis dan gambar dia memakai baju polis di telefon bimbitnya lalu meminta penarik kereta itu menyerahkan kad pengenalan dan dokumen penarikan.

Sejurus itu penarik kereta meminta suspek untuk menunjukkan kad kuasa polis tetapi dia gagal dan hanya menunjukkan gambar dan lencana polis saja.

Suspek turut mengaku kononnya dia bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Curiga dengan tingkah laku suspek terbabit, penarik kereta kemudian pergi ke Pondok Polis Kawasan (PPK) di Warisan Square untuk melaporkan mengenai tindakan suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata bertindak atas laporan itu, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi dan menahan suspek terbabit.

“Siasatan mendapati suspek bukanlah pegawai kanan polis berpangkat ASP tetapi bekerja sebagai jurujual simkad dan dia mengaku sebagai ASP kerana mengelak motosikal miliknya ditarik.

“Soal siasat juga mendapati lencana polis dan baju polis itu diperoleh semasa suspek menjadi kadet polis ketika dibangku sekolah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata suspek warga tempatan berusia 22 tahun bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *