
BELURAN: Tujuh lelaki termasuk enam warga asing ditahan ketika sedang bermain judi bola dan turut memiliki beberapa cakera padat lucah serta cetak rompak.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Kasim Muda berkata, kesemua suspek ditahan pada pukul 4 petang di Pasar Tamu Kampung Obah, Mamahat kelmarin ketika sedang leka bermain judi.

Beliau berkata, hasil serbuan polis berjaya merampas wang tunai RM2,145; 1,870 keping CD bernilai RM9,545 dan sebuah Toyota Hilux berharga RM60,000.
“Serbuan berkenaan diketuai pegawai Inspektor Mohd. Nazrin Shah Zulhakim bersama lapan anggota di kawasan Op Taring iaitu Pos Platun Tek Kuala Mamahat, Batalion 20 Pasukan Gerakan Am Beluran.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Beluran untuk diproses,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, kesemua suspek berumur antara 26 hingga 69 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
BorneoToday