Presiden SAFA: Peter Menang Tanpa Bertanding

KOTA KINABALU: Datuk Peter Anthony secara sah menerajui kepimpinan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) apabila menang tanpa bertanding sebagai presiden bagi penggal 2019-2022 pada kongres tahunan persatuan itu di sini, hari ini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini memangku jawatan berkenaan apabila presiden SAFA ketika itu Alijus Sipil telah meletak jawatan, kurang dari tiga bulan beliau menjawat jawatan tersebut pada Nov 2018.

Bercakap kepada pemberita selepas kongres tahunan SAFA itu, Peter berkata barisan kepimpinan baharu SAFA akan membuat beberapa pembaharuan untuk membangunkan lagi bola sepak di negeri ini.

“Kita akan membangunkan bola sepak di setiap daerah…kita mahu mencungkil bakat pemain sejak dari umur tujuh tahun sehingga ke 12 tahun untuk menjadi pelapis di masa akan datang.

Oleh itu kita akan pastikan setiap SAFA daerah dapat memainkan peranan masing-masing dengan membuat perancangan membangunkan bola sepak di kawasan masing-masing termasuk menganjurkan beberapa kejohanan dan akan ada peruntukan diberikan untuk melaksanakannya,” katanya.

Peter berkata selain itu SAFA akan melaksanakan beberapa program untuk memperkasakan lagi para pengadil yang ada di Sabah.

“Kita mahu perkasakan semua pengadil yang ada agar mereka menjadi lebih profesional dalam mengadili setiap kejohanan yang bakal dianjurkan di Sabah.

Pada tahun hadapan SAFA merancang untuk menganjurkan beberapa kejohanan yang turut disertai pasukan dari Brunei, Kalimantan, Labuan dan Sarawak. Oleh itu kita mahu pengadil yang ada di negeri ini dapat mengadili kejohanan berkenaan secara baik dan profesional untuk mengelakkan sebarang masalah,” katanya.

Mengenai persediaan menghadapi saingan Liga Super pada musim hadapan, Peter berkata skuad Sabah akan berwajah baharu dengan dibarisi beberapa pemain baharu untuk memantapkan lagi barisan pemain.

“Kita sudah senaraikan beberapa pemain termasuk pemain import yang bakal memperkuatkan skuad Tambadau ini dan apabila tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.

Ditanya mengenai jurulatih Sabah, Peter berkata Sabah akan mendapatkan jurulatih baharu bagi menggantikan Jelius Ating.

“Jelius tidak dapat mengendalikan Sabah pada musim hadapan kerana beliau tidak mempunyai lesen kejurulatihan ‘AFC Pro License’ seperti yang disyaratkan. Oleh itu kita akan mengambil jurulatih luar yang mempunyai lesen berkenaan dan Jelius akan menjadi penolong jurulatih dan dalam masa yang sama beliau akan mengikuti kursus untuk mendapatkan ‘AFC Pro License’,” katanya.

BorneoToday

17