Pangkalan Data Usahawan Di Sabah Akan Dilancar Disember – Madius

SEPANGGAR: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian akan melancarkan Pangkalan Data Usahawan pada penghujung tahun ini sebagai komitmen berterusan kerajaan membangunkan bidang keusahawanan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan & Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pangkalan data itu akan dilancarkan Ketua Menteri sempena Minggu Usahawan Sabah pada Disember ini.

Beliau berkata, pangkalan data ini lebih interaktif bagi membolehkan usahawan mendaftarkan profil perniagaan dan produk mereka. Disamping itu, usahawan boleh berhubung dengan ejen-ejen mereka di luar negara menerusi pangkalan data ini.

“Pangkalan data ini akan turut memudahkan kerajaan memantau perkembangan usahawan yang berdaya maju serta memudahkan usahawan mendapatkan khidmat bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Sempena Hari Pengguna Kebangsaan & Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Sabah, di Politeknik Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.

Katanya, usahawan Industri Kecil & Sederhana yang berada dalam pangkalan data itu akan dipantau. Jadi mana-mana usahawan yang berdaya maju hingga mampu terlibat dalam aktiviti eksport dan import akan diberikan pengiktirafan tertentu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pangkalan data itu kini dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan akan diserahkan kepada kementerian itu pada Minggu Usahawan Sabah.

Dalam pada itu, Madius juga mahu penyelarasan program antara kementeriannya dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dapat dilakukan.

Beliau berkata, kementerian itu tidak boleh bergerak secara sendirian tanpa kerjasama daripada persekutuan jika ingin memastikan sasaran yang ditetapkan dalam melahirkan 100 usahawan baharu setahun sehingga 2030.

Katanya, menjelang 2030, beliau mahu melihat ada 1,000 usahawan dilahirkan di Sabah.

Madius juga mahu pelabur yang berasal dari Sabah supaya kembali melabur di negeri ini bagi membantu membangunkan sektor pembuatan dan pemprosesan.

Katanya, peranan logistik pelabuhan juga amat penting dan kerajaan sedang berusaha membawa ‘mainland shipping operator’ masuk ke pelabuhan.

Beliau berkata, jika ini dapat direalisasikan, barangan dari boleh terus sampai ke pasaran tanpa perlu singgah di pelabuhan lain seperti di Pelabuhan Klang. Proses sebegitu akan membolehkan harga barangan lebih rendah.

Bagaimanapun, Pelabuhan Sabah perlu meningkatkan kapasiti sehingga mencapai 1juta kontena berbanding sekarang hanya 300,000 kontena setahun.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah George Abas.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *