Sabah Mahu Peruntukan Belanjawan Diagih Lebih Awal Pada Tahun Depan

KOTA KINABALU: Pengagihan peruntukan kerajaan persekutuan dibawah Belanjawan 2020 kepada Sabah perlu diagihkan awal pada tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong.

Katanya ini bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang dinyatakan pada Belanjawan 2020 dapat dilaksanakan dengan masa yang cukup dan hasilnya berkualiti untuk manfaat rakyat.

“Jika peruntukan mula diturunkan (agih) pada April atau Meil akan melambatkan pelaksanaan projek pembangunan.

“Sedangkan rakyat terutama di kawasan luar bandar tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan kemudahan bekalan air, bekalan elektrik dan jalan raya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan itu semalam menyatakan sejumlah RM5.2 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan di Sabah.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri mahu kontraktor yang dilantik melaksanakan projek pembangunan di negeri ini dibawah Belanjawan 2020 melakukannya dengan fokus dan tidak memikirkan keuntungan sahaja.

Katanya tumpuan harus diberikan untuk melaksanakan kerja dengan berkualiti dan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan khususnya membabitkan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan peruntukan yang diumumkan pada Belanjawan tahun depan mengambil kira pandangan pimpinan kerajaan negeri Sabah.

Katanya belanjawan ini terangkum seperti apa yang diperlukan di negeri ini khususnya soal kemudahan asas, ekonomi dan peluang pekerjaan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *