Kepala, Keratan Tubuh Remaja Perempuan Dicampak Dari Tingkat 12

MOSCOW: Sekumpulan remaja yang sedang bermain di halaman sebuah flet di Chita, Russia, terkejut apabila kepala wanita terjatuh di tempat mereka bermain, kelmarin, sebelum diikuti keratan anggota badan manusia.

Kepala dan anggota badan itu milik Elizaveta, 19, penari di sebuah kelab bogel di Chita, dipercayai dibunuh sebelum dipenggal kepala manakala tubuhnya dipotong menjadi beberapa bahagian oleh seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai teman lelakinya di tingkat 12 flet berkenaan.

Serpihan badan Elizaveta ditemui oleh kanak-kanak yang tengah bermain di kawasan berhampiran

Daily Mail yang memetik media Russia melaporkan, seorang remaja itu, Igor Shalev, 15, berkata: “Mula-mula pakaian dipenuhi darah dilempar ke bawah sebelum diikuti kepala manusia.

“Selepas itu anggota badan mula jatuh. Ia amat menakutkan.”

Siasatan polis kemudian mengenal pasti mangsa sebagai wanita penduduk Chita berusia 19 tahun.

“Suspek yang menyewa apartmen di blok sama, kini ditahan polis untuk disoal siasat,” kata jurucakap polis.

Seorang rakan mangsa memohon sumbangan orang ramai melalui dalam talian untuk pengebumian wanita itu.

“Dia anak yatim, tinggal bersama neneknya. Mereka tiada wang untuk pengebumiannya,” katanya.

Chita ialah bandar dengan penduduk seramai 330,000 orang di timur Siberia, berhampiran sempadan Russia dan Mongolia. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *