Salleh Said Keruak Pilih PKR Demi Masa Depan Sabah

Datuk Salleh Said Keruak.

KOTA KINABALU: Datuk Salleh Said Keruak mengesahkan telah memohon secara dalam talian untuk menjadi ahli PKR secara dan beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti itu untuk mempertimbangkannya.

Mantan Ketua Menteri Sabah dan juga seorang menteri persekutuan dalam kerajaan terdahulu itu percaya langkah yang beliau ambil adalah tepat.

“Saya percaya ia langkah yang betul buat diri saya, dan saya percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, menerusi penglibatan saya dalam PKR,” katanya dalam blog beliau sallehsaid.com hari ini.

“Saya memilih PKR  kerana parti ini mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politik saya dan juga suasana politik di Sabah.

“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah mengambil keputusan meninggalkan Umno pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah,” katanya.

Salleh berkata beliau ingin membantu PKR dalam membawakan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan, terutamanya di negeri Sabah.

“Dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstrimis yang  boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, saya percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara dari bencana ekstrimisme,” katanya.

Beliau menambah lagi bahawa sejak menyertai dunia politik hinggalah ke hari ini, saya kekal sebagai seorang moderate, progresif dan amat mendukung kestabilan.

Sementara itu, ketika dihubungi Sabah News Today, Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Pengarah Pilihanraya PKR Sabah Mohd Amin Abdul Mem.

“Kita akan lihat bagaimana nanti … namun bagi PKR Sabah, kami langsung tidak tahu menahu perkara ini,” kata Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Christina Liew. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Amin dalam kenyataannya menegaskan pimpinan parti perlu terlebih dahulu mendapatkan pandangan MPN Sabah dalam hal ini.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *