PKR Belum Lulus Penyertaan Salleh Said Keruak

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum membuat keputusan berhubung permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Biro Politik PKR akan mengadakan perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak itu belum dipertimbangkan oleh Biro Politik, tetapi sudah ada kenyataan dari saudara Fahmi Fadzil kita terima permohonan itu daripada beliau, tetapi belum kita bincang dalam mesyuarat pimpinan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau ditemui pada sidang media bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi temu rapat bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keanggotaan Salleh secara dalam talian.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau turut memaklumkan, Biro Politik PKR akan membincang dan mempertimbangkan permohonan tersebut pada mesyuarat yang akan datang.

Awani