TAWAU: Enam suspek dipercayai terbabit dalam pembunuhan seekor gajah Pygmy yang ditemui di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, disambung reman dua hari lagi.
Ketua Polis Daerah Tawau,Peter Umbuas berkata polis membuat permohonan menyambung reman itu di Mahkamah Majistret di sini, selepas tempoh reman empat hari berakhir hari ini.
“Kesemua suspek berumur 48 hingga 68 tahun itu terdiri daripada lima lelaki tempatan serta seorang lelaki pendatang haram dibenarkan sambung reman bermula esok bagi membolehkan polis menyiapkan siasatan di bawah Seksyen 8(c) Akta Senjata Api,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Peter berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) akan memohon untuk menahan suspek bagi siasatan kes di bawah kendaliannya selepas siasatan polis selesai.
Polis menahan semua suspek antara 12.20 tengah malam hingga 12.30 tengah hari Rabu lalu dalam Ops Khazanah di kawasan Felda Umas dan Ladang Dumpas kerana mereka dipercayai terlibat dalam pembunuhan gajah Pygmy dan pengambilan gading secara haram.
Penahanan suspek itu turut membawa kepada rampasan lima laras senjata api, termasuk tiga laras senjata buatan sendiri (bakakuk), 53 kelongsong peluru serta 59 butir peluru hidup, selain dua gading gajah yang disembunyikan di kebun koperasi Felda di Felda Umas, dekat sini.- FMT