KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak sudah diluluskan keahlian dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengejutkan pimpinan parti negeri.
Pengarah Pilihanraya PKR Sabah merangkap Ketua Cabang PKR Semporna, Mohd Amin Abdul Mem berkata sewajarnya pimpinan utama Negeri dan Cabang dimaklumkan terlebih dahulu dan dilibatkan tentang kemasukan ini.
Sekiranya spekulasi itu benar maka ianya adalah tidak wajar dan bertentangan dengan polisi serta prinsip yang dipertahankan oleh parti khususnya era selepas PRU14, katanya.
Menurutnya dalam hal itu pandangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah amat penting agar hasrat pemartabatan tuntutan kuasa autonomi negeri yang diberikan kepada MPN Sabah terus mekar dan diperkasa.
“Pimpinan parti selalunya tegas dan penuh berhati-hati dengan kemasukan mantan pimpinan Umno terutama yang keluar beramai-ramai pada bulan Disember 2018.
“Saya berpandangan PKR Sabah berada di landasan yang betul ingin menjuarai agenda Reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.
“Biarpun beberapa pimpinan pembangkang berpindah randah ke parti komponen yang memimpin kerajaan hari ini, PKR Sabah tetap untuk tidak menerima atas prinsip memelihara integriti kepimpinan parti dan menghormati keputusan rakyat pada pilihanraya PRU14 yang lalu,” katanya.
Menurut Mohd Amin, PKR memerlukan pemimpin dan pejuang-pejuang yang benar-benar memahami idealisme perjuangan reformasi yang membela rakyat, memerangi rasuah, melawan ketidakadilan dan menjunjung muafakat masyarakat.
“Bukannya pejuang kesiangan yang hanya memikirkan kepentingan dan survival politik sendiri,” katanya.
“Saya percaya dan yakin kepimpinan utama parti khususnya Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal mempertahankan agenda perjuangan Reformasi yang telah menjangkau 20 tahun dan bakal memimpin kerajaan malaysia sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-8 menjelang tahun hadapan.
‘Sesungguhnya parti Reformasi ini harus mewakili denyut nadi rakyat yang dahulunya terpinggir agar terus dihormati majoriti rakyat negeri dan negara ini,” katanya.
Utusan Malaysia Online kelmarin melaporkan bahawa semakan terhadap senarai keahlian PKR menunjukkan Salleh telah diterima sebagai ahli PKR cabang Kota Belud pada 25 Ogos.
Portal berkenaan turut menyiarkan nombor keahlian Salleh iaitu S0300008562.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata permohonan keahlian Salleh akan dibincangkan oleh Biro Politik Keadilan dalam mesyuaratnya akan datang.
Katanya beliau difahamkan berdasarkan pada rekod, parti memang ada menerima permohonan keahlian dari Salleh secara dalam talian (online).
“Walau bagaimanapun, Biro Politik Keadilan akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.-SabahNewsToday