Polis KK Rampas Barangan Berkaitan Judi Haram Bernilai Lebih RM130,000

Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU, 2 Okt: Dalam usaha membanteras aktiviti perjudian haram di sekitar Kota Kinabalu, polis daerah ini menjalankan Op Dadu sejak Januari hingga September lepas dan merampas barangan berkaitan judi haram bernilai lebih RM130,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata dalam tempoh itu, sebanyak 150 serbuan dijalankan membabitkan penahanan 158 individu, termasuk 70 wanita berumur antara 16 hingga 70 tahun.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas barangan termasuk komputer, tablet, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Daerah (IPD) Karamunsing, di sini hari ini.

Beliau berkata individu yang ditahan terdiri daripada mereka yang terlibat dalam aktiviti judi, antaranya loteri awam haram, judi dalam talian serta wahui di sekitar Inanam, Luyang, Karamunsing dan Tanjung Aru.

Habibi berkata IPD akan terus memantau aktiviti judi tanpa lesen dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, Habibi menjelaskan insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah pada minggu lepas bukan bersifat perkauman, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham berkaitan masalah peribadi.

Beliau berkata berikutan insiden itu, polis menahan tujuh lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 35 tahun untuk membantu siasatan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *