Keluarga Mangsa Culik Sudah Terima Panggilan Tuntut Wang Tebusan – Polis

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan keluarga mangsa culik di perairan Tambisan, 23 September lalu, sudah menerima panggilan daripada kumpulan penculik untuk meminta wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata keluarga mangsa dihubungi kumpulan itu beberapa hari selepas tiga nelayan warga Indonesia terbabit diculik.

Bagaimanapun setakat ini, beliau berkata, pihaknya belum didedahkan jumlah wang tebusan dituntut kumpulan penculik berkenaan.

“Difahamkan, kumpulan penculik turut cuba menghubungi majikan mangsa dipercayai untuk meminta wang tebusan.

“Kita akan berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi, tiga nelayan warga Indonesia, Maharudin Lunani, 48; anaknya, Muhammad Farhan, 27; dan anak buah, Samiun Maneu, 27, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Pasukan keselamatan mengenal pasti suspek adalah daripada kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR), manakala ketiga-tiga mangsa dilarikan ke kawasan berhampiran Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Berita Harian