Pulau Komodo Tak Jadi Tutup

JAKARTA: Kerajaan Indonesia membatalkan perancangan untuk menutup Pulau Komodo pada tahun depan berikutan populasi biawak Komodo masih stabil dan belum terancam.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar berkata, data menunjukkan populasi biawak gergasi itu stabil sejak lebih 10 tahun lalu.

“Tiada ancaman yang menyebabkan populasi Komodo menurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu akan bekerjasama dengan kerajaan tempatan bagi membangunkan lokasi pelancongan, mempertingkatkan latihan renjer, menyediakan kelengkapan lebih baik untuk rondaan serta mendirikan pusat penyelidikan Komodo.

Pada Julai lalu, Gabenor Nusa Tenggara Timur, Viktor B Laiskodat berkata, pulau itu perlu ditutup kepada orang awam bagi mengelak proses pembiakan reptilia terbabit diganggu selain mengurangkan risiko diburu.

Berdasarkan perancangan asal, pulau itu akan dibuka setahun kemudian sebagai destinasi pelancongan eksklusif.

Namun, perancangan itu menerima bantahan penduduk yang bergantung kepada pelancong sebagai sumber pendapatan.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *