Kemaruk Saiz Besar

Suntikan minyak tanah, minyak zaitun, minyak kasturi dan silikon adalah antara kegilaan sesetengah lelaki di negara ini yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk membesarkan zakar ke saiz yang diidamkan.

Bagaimanapun, tanpa mereka sedari sebenarnya mendapatkan ‘rawatan’ daripada terapi kosmetik tanpa tauliah itu mampu mengancam nyawa mereka dan paling mengerikan, kulit zakar yang rosak perlu dilapah, dibuang sepenuhnya dan digantikan menggunakan kulit peha.

DR FAM XENG INN

Lebih membimbangkan apabila Pakar Urologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fam Xeng Inn mendedahkan aktiviti suntikan benda asing itu semakin menjadi ikutan apabila beliau perlu merawat 20 pesakit itu setahun sejak lima tahun lalu.

Beliau berkata, kemunculan benda asing seperti minyak tanah di dalam badan akan merangsang tindak balas sel darah putih mengelilinginya.

“Tindak balas itu akan membentuk ketulan keras di lapisan bawah kulit dikenali sebagai granuloma yang mengakibatkan zakar bengkak dan keras dengan rupa bentuk yang teruk.

“Pada peringkat awal selepas suntikan, zakar pesakit akan mencapai kekerasan memuaskan semasa ereksi,” katanya.

Dr Fam berkata, perkara itu akan memberi kepuasan kepada pasangan dan mereka akan berkongsi pengalaman bagus serta mengalu-alukan kawan mendapat suntikan.

Katanya, ada kes minyak disuntik mengalir ke bahagian testis dan melekat di telur menyebabkan kantung telur terpaksa dibuka.

“Apabila perkara buruk berlaku, mereka malu berjumpa doktor dan kembali berjumpa juruterapi tidak bertauliah untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Fam menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan juruterapi tidak bertauliah sebaliknya bertemu pakar jika adai masalah.

MUDARAT SUNTIKAN BENDA ASING

KUALA LUMPUR: Golongan yang mengalami masalah saiz zakar kecil atau micropenis perlu mendapatkan penilaian kesihatan secara menyeluruh dan mungkin perlu rawatan alat kelamin.

Saiz alat kelamin tidak cukup besar lebih kepada persepsi sebilangan lelaki terpengaruh dengan persekitaran semasa termasuk menonton video lucah.

Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, masalah micropenis bukan hanya disebabkan saiz, tetapi ia juga membabitkan masalah ketidakseimbangan sistem endokrin yang boleh menjejaskan tahap kesihatan lelaki.

Beliau berkata, golongan yang mengalami masalah itu biasanya mempunyai saiz zakar kurang dari lima hingga tujuh sentimeter ketika ereksi dan boleh dirawat dengan pembedahan atau rawatan hormon.

“Biasanya orang mempunyai persepsi, saiz zakar mereka tidak cukup besar, tetapi apabila kita periksa sebenarnya mereka saiz mereka normal.

“Tiada keperluan dibedah apatah lagi memasukkan benda asing,” katanya.

Dr Shaiful berkata, suntikan benda asing daripada golongan tidak bertauliah ini boleh memberi mudarat.

“Memasukkan benda asing seperti minyak boleh mengakibatkan zakar rosak dan lebih menakutkan apabila ia tidak boleh berfungsi dengan normal,” katanya.

Beliau sendiri berdepan pengalaman pesakit mengalami masalah kerosakan zakar disebabkan memasukkan benda asing seperti silikon.

“Meskipun ada golongan mendakwa mereka pakar dalam bidang ‘besar-membesar’ ini, kita perlu selidik latar belakang mereka kerana tidak tahu bahan digunakan untuk disuntik ke dalam kulit itu.

“Selain itu, ada yang mendakwa boleh membesarkan menggunakan kaedah lain termasuk pam tetapi sejauh mana kebaikannya kepada kesihatan kita tidak tahu,” jelasnya.

Dr Shaiful berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap juruterapi tidak bertauliah.