Jalinan Kerjasama Antara Sabah, Kalimantan Timur Menerusi Pendidikan

Yusof (tiga kanan) menyaksikan acara menandatangani MoU antara Naib Canselor UMS Prof Dr Taufiq Yap dan wakil Universiti Balikpapan.

BALIKPAPAN, Indonesia: Tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani tiga institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah dengan Universiti Balikpapan menjadi pemangkin kepada kerjasama pendidikan Sabah dengan Kalimantan Timur.

MoU itu ditandatangani bersempena lawatan kerja kerajaan negeri Sabah diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, semalam.

Yusof (dua kanan) menyaksikan acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara Rektor UiTM Sabah Datuk Dr Abdul Kadir Rosline (kanan) dan wakil Universiti Balikpapan.

Tiga IPT Sabah yang menandatangani MoU dengan Universiti Balikpapan ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kampus Sabah dan Kolej SIDMA.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata MoU yang ditandatangani itu bagi menjalin kerjasama pelbagai bidang, antaranya membabitkan pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidikan tiga IPT di Sabah itu dengan Universiti Balik Papan.

“Dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur, sudah tentu Sabah merebut peluang tersebut dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan untuk manfaat bersama,” katanya di sini, malam tadi.

Shafie berkata, Sabah secara keseluruhannya, sudah mempunyai infrastruktur pengajian tinggi yang baik, termasuk mempunyai dua universiti awam iaitu UMS dan UiTM serta 27 IPT swasta.

Katanya, Sabah bersedia menawarkan kursus yang boleh dipromosi di Kalimantan Timur sebagai persediaan mereka menjadi ibu negara Indonesia.

Antara kursus yang sesuai ditawarkan adalah berkaitan pengurusan, perubatan, pemantapan Bahasa Inggeris dan pelancongan yang ada kaitan dengan pertumbuhan ekonomi di Kalimantan Timur.

“Dengan promosi menerusi MoU yang ditandatangani ini, kita berharap lebih ramai pelajar dari Indonesia datang ke Sabah dan seterusnya merangsang ekonomi Sabah menerusi ekopelancongan,” katanya.

Turut mengikuti lawatan kerja Ketua Menteri Sabah itu ialah Naib Cancelor UMS, Datuk Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Rektor UiTM Sabah, Datuk Prof Abdul Kadir Ruslim dan Pengerusi Kolej SIDMA, Dr Morni Kambrie.

Sementara itu, lawatan kerja Mohd Shafie di sini diteruskan dengan kunjungan ke syarikat minyak dan gas PT Pertamina sebelum ke Tarakan di Kalimantan Utara.

Di Tarakan, Mohd Shafie akan melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Kalimantan Utara Dr H Irianto Lambrie dengan perbincangan menjurus mengenai pembangunan Kalimantan Utara serta peluang kerjasama ekonomi, pelancongan dan pendidikan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *