Ganjaran Meningkat Ke RM30,000 Bantu Tangkap Pembunuh Gajah Pygmy

Keadaan gajah Pygmy Borneo yang maut akibat ditembak sebanyak 70 kali oleh pemburu haram.

KOTA KINABALU: Ganjaran kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pemburu haram yang bertanggungjawab membunuh gajah Pygmy Borneo di Kalabakan Rabu lalu kini meningkat kepada RM30,000.

Terbaharu hari ini, pertubuhan bukan kerajaan iaitu Orangutan Appeal United Kingdom (OAUK) turut menambah sebanyak RM10,000 lagi bagi memastikan pihak tidak berhati perut itu dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, Jabatan Hidupan Liar dan satu badan sukarela masing-masing menawarkan RM10,000 kepada pemberi maklumat yang tampil membantu pihak berkuasa mencari dalang berkenaan.

Pengasas OAUK, Sue Sherward berkata, berita tentang penemuan bangkai gajah tersebut dengan 70 kesan tembakan serta gadingnya yang telah dipotong adalah sangat memilukan, justeru tindakan perlu diambil.

“Saya baru sampai di Kota Kinabalu dua hari lalu dan mendengar berita memilukan ini daripada Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Dr. Sen Nathan, beliau sangat sedih ketika bersama pasukannya melakukan bedah siasat kerana mengakui selama 25 tahun berkhidmat, beliau belum pernah berdepan dengan tindakan kejam seperti itu.

Gading gajah tersebut yang telah dipotong oleh pemburu haram.

“Maka, sama seperti saya berikrar kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebelum ini untuk membantu beliau dalam aktiviti pemuliharaan di Sabah, saya juga menawarkan RM10,000 sebagai ganjaran kepada maklumat yang boleh membantu penangkapan pemburu haram itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk ditebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum menyebarkan gambar haiwan berkenaan di media sosial.

Berikutan itu, pegawai Jabatan Hidupan Liar yang melakukan siasatan keesokannya mendapati gading gajah tersebut telah dipotong oleh pemburu haram.

Bedah siasat mendapati gajah jantan yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditembak sebanyak 70 kali menggunakan senapang patah sebelum sebiji peluru menembusi tengkorak sehingga membunuhnya.

BorneoToday