
KOTA KINABALU: Seorang isteri hanya mampu menangis apabila suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan di rumahnya di Penampang.
Ops Cegah selama empat jam bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi kelmarin itu turut menahan enam lelaki lain.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata lelaki berusia 47 tahun itu pernah ditahan atas kesalahan sama dan ketika ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Ketika serbuan dijalankan suspek sedang berada di ruang tamu rumahnya. Isteri yang melihat suspek ditahan penguat kuasa AADK menangis sebelum memeluk suaminya.
“Hasil soal siasat suspek mengaku baru menghisap syabu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lawrence berkata lelaki itu antara tujuh individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di empat lokasi iaitu Kampung Likas, Kampung Warisan Inanam, Taman Kingfisher dan Penampang.
“Ujian saringan air kencing terhadap semua tujuh lelaki mendapati empat daripadanya positif dadah jenis syabu dan tiga positif ganja.

“Semua tangkapan berusia 19 hingga 50 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihak turut menjalankan Ops Cegah di beberapa kawasan dalam pusat bandar raya antaranya Kampung Air, Jalan Gaya, Sinsuran dan Bandaran Berjaya.

Katanya beberapa individu ditahan namun dibebaskan selepas ujian air kencing mereka negatif dadah.
SabahNewsToday