ADUN Labuk Tinggalkan PBS Sertai Warisan

Mohd Shafie (tengah) menerima borang keahlian daripada Abdul Rahman.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang mengumumkan keluar daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bekas Naib Presiden PBS itu menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Bersama beliau menyertai Warisan ialah tiga Ketua Cawangan PBS kawasan Labuk iaitu Nordin Lamsnih, Saharan Marpidi dan Tamiang Saraman.

Turut menyertai Warisan ialah ahli jawatankuasa (AJK) Wanita dan Pemuda PBS Labuk iaitu, Fency Mirsoh dan Sunny Silva Raja, bekas penolong pegawai daerah Beluran, Jamai Sikansa; AJK Umno Beluran, Abdul Rahim Diar dan ahli Umno Beluran, Andaraman Kahar.

Sementara itu Mohd Shafie berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Abdul Rahman serta beberapa AJK PBS dan ahli Umno Labuk ke dalam Warisan.

“Beliau sebenarnya telah menyatakan hasrat itu kepada saya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan lagi dan kita gembira ia dapat direalisasikan hari ini.

“Kita sebenarnya tapis dahulu sebelum menerima kemasukan mana-mana pihak ke dalam Warisan termasuk melihat mana yang kita rasa punyai pengalaman dan keupayaan tapi saya yakin saudara Abdul Rahman ini diterima rakyat di kawasan itu,” katanya dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Mohd Shafie menambah keputusan yang dibuat itu adalah untuk kepentingan Sabah bukan hanya Warisan semata-mata.

Penyertaan terbaharu Adun Labuk itu menjadikan Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Abdul Rahman adalah Adun PBS kedua selepas Datuk Anita Baranting (Tandek) yang mengumumkan keluar partu untuk menyertai Warisan.

Sementara itu Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili dijangka mengadakan sidang akhbar petang nanti berkenaan perkembangan terbaharu ini.

SabahNewsToday