Sudah Lima Kali, Pemandu Bas Pelancong Ditahan Rogol Anak Tiri

Gambar Hiasan

TUARAN: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun membuat laporan polis selepas sering dijadikan alat ‘pemuas nafsu’ bapa tirinya di sebuah kampung di Tuaran dipercayai sejak beberapa bulan lalu.

Mangsa yang tinggal bersama lelaki itu dikatakan dirogol lima kali di bilik tidurnya setiap kali mereka tinggal berdua di rumah.

Bagaimanapun, mangsa yang bersekolah di sekolah menengah di daerah itu tidak dapat mengingati tarikh sebenar kejadian namun mendakwa bapa tirinya sering mengulangi perbuatan terkutuk itu.

Difahamkan, bapa tirinya berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pemandu bas pelancongan di sebuah pusat peranginan di daerah Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim yang mengesahkan laporan itu berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tuaran 18 September lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum menahan suspek pada 1 pagi Isnin lalu di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

“Siasatan awal mendapati suspek sering melakukan perbuatan itu dalam bilik tidur mangsa ketika mereka tinggal berdua.

“Suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dan merogol anak tiri.

Katanya, sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.