
JAYAPURA: Kebanyakan daripada 32 mangsa maut dalam tunjuk perasaan di Papua, minggu ini, meninggal dunia akibat ditikam, dipukul dengan objek tumpul atau dibakar, menurut polis hari ini.
Ribuan penduduk melarikan diri ke pusat perlindungan, susulan pertumpahan darah yang menyaksikan mangsa dibakar penunjuk perasaan hidup-hidup, ketika dalam bangunan, semalam.
Papua yang terletak di sebelah barat pulau New Guinea dilanda tunjuk perasaan, selama berminggu-minggu, susulan kemarahan perkauman terhadap penduduk asal Papua yang berhijrah ke wilayah lain Indonesia.
Tunjuk perasaan itu berpunca daripada penahanan puluhan pelajar Papua dan tindakan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka yang menjadi sasaran penghinaan kaum di Surabaya.
Minggu ini, keganasan terbaharu berlaku, selepas wujud dakwaan kenyataan perkauman yang dibuat oleh seorang guru terhadap pelajar di bandar Wamena, namun polis menolak tuduhan itu.
Rabu lalu, polis tempatan berkata, kekacauan di Wamena sudah reda. Banyak bangunan dan kereta terbakar kelihatan.
“Situasi di Wamena berjaya dikawal. Kebanyakan mangsa mempunyai kesan tikam, cedera hentakan objek tumpul dan terbakar teruk,” katanya. – AFP