1 Maut 5 Cedera, Dua Kenderaan Bertembung

Kenderaan jenis Proton Saga bertembung dengan Perodua Rusa di Kampung Pangkalan, Batu 6 Kinabatangan, semalam.

KINABATANGAN: Seorang terkorban manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan jalanraya membabitkan sebuah van Perodua Rusa dan sebuah Proton Saga di Kampung Pangkalan Batu 6 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Supt Dzulbaharin Haji Ismail berkata kemalangan berlaku pada lebih kurang jam 7.15 malam melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Rusa dengan sebuah Proton Saga.

Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati dalam kemalangan tersebut Pemandu Perodua Rusa dalam perjalanan balik dari tempat kerja (MDK) menuju ke rumahnya, kata Dzulbaharin.

 “Setelah sampai di tempat kejadian, pemandu Perodua Rusa telah hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan Proton Saga,” tambah beliau.

Pemandu Perodua Rusa kemudian disahkan telah maut di tempat kejadian. Manakala, pemandu Proton Saga mengalami luka-luka kecil dan sakit-sakit di bahagian badan, kata Dzulbaharin.

Mayat pemandu Perodua Rusa tersebut dibawa ke kamar mayat Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat pada 25 Sep 2019. Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya, katanya lagi.

Kes tersebut disiasat di bawah Sek.41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Dzulbaharin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan Nurul Azlan Jamaluddin berkata sebuah jentera diketuai oleh PBK II Hairul Jamal, bersama 5 orang anggotatelah respon selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999.

Menurut Nurul Azlan, tempat kejadian terletak jarak sejauh 2km daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan.

Seorang mangsa lelaki, Jumin Sinty berumur 55 tahun, yang tersepit di van telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Perubatan, kata Nurul Azlan.

“Pasukan Bomba kembali ke Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan selepas operasi tamat pada jam 8.10 malam,” kata Nurul Azlan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *