Ribuan Pelajar Bantah Undang-Undang Jenayah Baharu Indonesia

RIBUAN pelajar Indonesia yang mengadakan rusuhan dileraikan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata. – Foto AFP

JAKARTA: Polis Indonesia melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata untuk meleraikan tunjuk perasaan, hari ini, ketika ribuan pelajar berhimpun di beberapa bandar di seluruh negara itu untuk membantah pelbagai isu termasuk satu undang-undang jenayah baharu.

Difahamkan rang undang-undang itu memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan zina dan mengkaji semula undang-undang rasuah.

Jumaat lalu, Presiden Joko Widodo mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang jenayah itu yang bakal menggantikan beberapa undang-undang era penjajahan Belanda sambil berkata, sidang baharu parlimen akan mempertimbangkan rang undang-undang terbabit, bulan depan.

Pindaan undang-undang itu turut membabitkan beberapa hukuman zina, menghina presiden, penjara empat tahun menyebabkan keguguran tanpa kecemasan perubatan atau rogol dan penjara untuk sihir.

Walaupun undian itu tidak dimasukkan dalam sesi parlimen, hari ini, ada beberapa pembuat dasar berkata, mereka akan cuba membuat draf baharu untuk membolehkan ia diundi, sebelum penggal semasa berakhir, hujung bulan ini.

Pelajar berkumpul di beberapa bandar di seluruh negara itu. Salah satu kain rentang penunjuk perasaan menyatakan “Kelengkang saya bukan milik kerajaan”.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di laluan depan dan belakang bangunan parlimen Jakarta dengan menuntut mahu berjumpa dengan speaker parlimen, Bambang Soesatyo.

Soesatyo mengadakan sidang media dalam bangunan parlimen menggesa semua pihak bertenang, namun menolak persoalan sama ada undian akan ditangguhkan sehingga penggal baharu parlimen sambil mengulangi bahawa undian mungkin berlaku dalam penggal semasa.

Polis kemudian melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Di jalan utama Jakarta, ratusan penunjuk perasaan berarak ke parlimen, selepas berhimpun di depan istana presiden dan menghalang lalu lintas.

“Kami ke parlimen untuk menentang undang-undang anti rasuah baharu yang tidak mesra rakyat tetapi mesra pelaku rasuah. Kanun keseksaan baharu pun sama, ia tidak memihak kepada rakyat,” kata pelajar sebuah universiti Islam dan Jawa Barat, Fuad Wahyudin, 21.

Walaupun presiden sudah mengarahkan penangguhan kanun keseksaan itu, Wahyudin berkata, beliau mahu memastikan parlimen tidak meluluskan undang-undang itu melainkan mereka menukarkannya berdasarkan tuntutan penunjuk perasaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *