SANDAKAN: Kumpulan bersenjata yang menculik tiga nelayan warga Indonesia di Perairan Tambisan, Lahad Datu dikenal pasti dari kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR).
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Filipina untuk berkongsi maklumat berhubung kes berkenaan, termasuk merangka pelan tindakan susulan.
“Identiti KFR itu sudah kita kenal pasti, malah kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa di sana (Filipina) berhubung kes ini.
“Ia kali pertama kes seumpamanya berlaku pada waktu siang berbanding kebanyakan kes di Timur Sabah yang biasanya berlaku ketika berlangsungnya perintah berkurung,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi semalam, tiga nelayan dikenali sebagai Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, disyaki diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di Perairan Tambisan.
Ketika kejadian, terdapat dua bot nelayan di lokasi berkenaan, termasuk bot dinaiki mangsa dengan jarak 50 meter antara satu sama lain, sebelum kumpulan lelaki bersenjata itu tiba-tiba muncul menaiki dua bot, seterusnya mengiringi bot dinaiki mangsa keluar dari perairan negara.
Bagaimanapun, Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan pencarian sebaik menerima maklumat itu hanya menemui bot kosong, dengan enjin masih hidup di perairan itu dan kesemua mangsa dilarikan ke kawasan berhampiran Pulau Tawi-Tawi, Selatan Filipina.
Berita Harian