Dua Suspek Tetak Lelaki Hingga Mati Ditahan Di Sandakan

Lokasi kejadian seorang lelaki maut ditetak di sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Batu 10, Sandakan. – Foto ihsan IPD Sandakan

SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui mati ditetak di sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Batu 10, di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam di sebuah rumah berhampiran rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata hasil siasatan awal pilis mendapati mangsa tinggal bersendirian rumah ladang berkenaan dan dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.

“Kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah terletak berhampiran dengan rumah mangsa. Polis turut menemui dan merampas senjata tajam dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi semalam, mangsa ditemui dengan kesan tetakan di seluruh badan oleh majikannya yang kemudiannya menghubungi polis.

Mohd Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *